Politik, antara ungkapan yang paling tidak digemari terutama kepada golongan muda. Sebut sahaja politik pasti membungkam dengan alasan tidak penting untuk diambil tahu.
Ada juga memberikan alasan bahawa politik itu hanya kepentingan dunia semata dan tiada dalam al-Quran dan hadis. Benarkah apa yang disebut itu?
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui laman facebooknya, berkongsi mengenai fiqh politik memandangkan musim pilihan raya di negara ini akan tiba tidak lama lagi dengan tajuk yang dibawa benarkah politik tiada dalam al-Quran dan al-Sunah?
Momokan penjajah
Menurut beliau, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Min Fiqh ad-Dawlah fil-Islam pernah menekankan bahawa penjajah Barat sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan tanggapan bahawa hubungan Islam dengan politik atau negara tidak pernah wujud.
Menurutnya, “saya tidak berhajat untuk menghuraikan dengan panjang lebar perbezaan antara pandangan alam Islam dan Barat tentang politik. Sudah tentu jauh bezanya.
“Para pembaca boleh merujuk buku Ahmet Davutoglu mantan Perdana Menteri Turkiye yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia – yang bertajuk Alternative Paradigms: The Impact of Islamic and Western Weltanschauungs on Political Theory dan Tarikh al-Khulafa’ ar-Rashidin: al-Futuhat wal-Injazat as-Siyasiyyah oleh sejarawan terkenal Arab, Dr. Muhammad Suhail Taqoush”.
Ujar beliau lagi, kalimah politik (as-siyasah) memang tidak terdapat dalam al-Quran. Maka, sebahagian pihak menyimpulkan Islam tidak ada kaitan dengan politik. Adapun dalam hadis, cuma ada satu kalimah yang berasal daripada kata akar as-siyasah.
Rasulullah SAW bersabda “Dahulu Bani Israil dipimpin oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi wafat, ia akan digantikan oleh nabi lain. Namun sungguh tidak ada nabi lagi sesudahku, dan sepeninggalanku akan ada para khalifah yang semakin ramai.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, lalu apa yang engkau perintahkan untuk kami?” Beliau menjawab, “Tunaikanlah baiah (sumpah setia) kepada khalifah yang pertama kemudian kepada yang berikutnya, lalu penuhilah hak mereka, dan mintalah kepada Allah apa yang menjadi hak kalian, kerana sesungguhnya Allah akan mempersoalkan mereka tentang apa yang mereka pimpin.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Asas politik Islam
Tegas beliau, hanya mereka yang cakna akan mendapati bahawa asas pemikiran politik itu disebutkan oleh Allah SWT terdapat dalam banyak ayat al-Quran. Tanpa perlu bersusah payah, kita akan berjumpa deretan ayat-ayat al-Quran yang membahaskan perihal kerajaan yang adil, zalim, sistem demokrasi dan sebagainya.
Ada ketikanya Allah SWT menggunakan istilah at-tamkin, al-istikhlaf dan al-hukm. Fokusnya cuma dua samada memuji atau mencela. Itulah asas-asas politik dalam Islam.
Justeru, dari mana mulanya kalimah as-siyasah dipopularkan dalam Islam?
Beliau menjelaskan “Boleh jadi pernyataan pertama dalam sejarah Islam yang menggunakan kalimah al-siyasah dalam bentuk kata dasar (masdar) dengan erti kata perkara terkait kekuasaan (al-muta’alliq bi al-hukm) adalah kata-kata ‘Amru bin al-‘As ketika mengangkat kredibiliti Mu’awiyyah di depan Abu Musa al-‘Asy’ari. Katanya “Sesungguhnya aku mendapati beliau layak menggantikan khalifah yang dizalimi. Beliau juga dapat menuntut darahnya, politik yang baik, tadbir urus yang baik.” (Tarikh al-Rusul wa al-Muluk)
“Adapun dalam bentuk kata kerja yang lampau (fi’il al-mudari’), terdapat ungkapan Saidina Umar dalam al-Mustadrak susunan al-Hakim. Manakala ungkapan Saidina ‘Ali dalam bentuk yang sama, boleh ditemui dalam al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah”
Pelaksanaan hukum syariat
Menurut Zulkifli lagi, “Dalam syariat Islam, perbahasan politik dibincangkan di bawah ilmu fiqh dan bukan di bawah perbahasan aqidah. Kerana itulah kita dapati banyak ijtihad baharu oleh para pemimpin politik Muslim sepanjang zaman disebabkan sifat fiqh itu yang fleksibel.
“Ia mula dibahaskan sebahagian kecilnya dalam bab aqidah apabila para ulama ahli Sunah wal Jama’ah melihat mazhab Syiah mula mengangkat isu imamah (kepimpinan), sebagaimana asalnya mazhab Syiah bermula dengan pertelingkahan politik dan akhirnya menjadi pertelingkahan akidah.
“Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menghuraikan dalam kitabnya as-Siyasah asy-Shar’iyyah di Daw’ Nusus asy-Shar’iyyah, ada dalam kalangan umat Islam melupai urusan pelaksanaan syariat itu ada kaitannya dengan akidah Islam.
“Justeru, walaupun ia dimasukkan dalam perkara ijtihad dan furu’ (cabang) di sisi ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah, namun ia tidak boleh dipisahkan daripada akidah Islam.
“Ini kerana, pelaksanaan hukum syariat itu adalah amalan yang lahir menjadi bukti daripada iman kepada taklifan wajib melaksanakan hukum daripada al-Quran dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang mesti diikuti,” katanya.
Sumber Sinar Islam
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.
Jom! sertai kami di page terbaru kami, Sila Klik Disini –> Detik Ini Viral Press
Pihak Hanif Okay tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosiaI ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.